Monday 1 June 2015

Latar Belakang Pendidikan Pemulihan

        Pendidikan pemulihan di negara kita bermula sejak tahun enam puluhan. Titik tolaknya ialah tinjauan keperluan pengajaran pemulihan yang diadakan pada tahun 1967. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengadakan tinjauan itu di sembilan
buah sekolah. Tinjauan itu berterusan hingga tahun 1970.

        Pada bulan Ogos 1975, KPM menganjurkan seminar pengajaran pemulihan untuk pengurus dan guru sekolah rendah. Pada tahun 1975 juga, KPM menghantar empat orang pegawai pendidikan mengikuti kursus dalam bidang pengajaran pemulihan di luar negara. Pada tahun 1976, Maktab Perguruan Ilmu Khas melatih 55 orang guru sekolah rendah untuk menjadi guru khas pemulihan. Pada tahun yang sama, MPIK mengadakan seminar pengajaran pemulihan untuk 50 orang pensyarah maktab           perguruan.

       Selain itu, pada tahun 1972 hingga 1981, KPM melaksanakan Projek Pendidikan Imbuhan untuk 12 buah sekolah rendah. Projek itu bertujuan mengenal pasti masalah pengajaran dan pembelajaran pemulihan murid-murid tahun satu hingga tahun        tiga.

       Pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran memperakukan supaya sekolah mengadakan ujian rujukan kriteria. Dengan berdasarkan dapatan ujian itu, pihak sekolah perlu melakukan tindakan penambahbaikan. Tindakan itu termasuklah penggunaan kaedah dan sumber pengajaran yang sesuai dalam kelas yang lebih kecil. KPM pula perlu menyediakan guru yang mampu mengendalikan pengajaran           pemulihan.

        Mulai tahun 1980, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) melaksanakan perakuan yang berkenaan. KBSR mengetengahkan konsep 5P, iaitu penggabungjalinan, penyerapan, penilaian berterusan, pemulihan dan pengayaan. Hal ini jelas memperlihatkan pemulihan merupakan satu daripada unsur istimewa KBSR.


       Mulai tahun 1986, KPM mengarahkan semua sekolah rendah di negeri yang mempunyai guru khas pemulihan agar melaksanakan program pemulihan di sekolah masing-masing. Arahan itu membayangkan bahawa pelaksanaan program sebelumnya adalah pada tahap yang tidak memuaskan. Antara sebabnya ialah kerajaan tidak berupaya menyediakan guru khas pemulihan yang mencukupi untuk semua sekolah         rendah.

       Pada tahun 1987, hanya terdapat 4,331 orang guru khas pemulihan berbanding dengan 6,700 buah sekolah rendah yang memerlukannya. Daripada jumlah itu, kerajaan hanya mampu mewujudkan 2,233 jawatan guru khas pemulihan.

      Pada tahun 1997, KPM mengeluarkan dapatan tinjauan kadar celik huruf selepas enam bulan murid berada dalam tahun satu. Tinjauan itu menunjukkan hampir 75,000 orang murid belum celik huruf. Jumlah ini bersamaan dengan 22 peratus daripada keseluruhan murid. Satu sumber lain (KPM, 1999) menyatakan, antara sepuluh hingga lima belas peratus murid sekolah masih menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran. Mereka gagal menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis,     mengira).

      Mulai tahun 1998, program pemulihan menjadi agenda penting KPM. Antara tindakan KPM ialah melatih guru Bahasa Melayu untuk melaksanakan pemulihan ringan dalam bilik darjah. Tindakan lain ialah menambah guru pemulihan khas (GPK) yang mampu   mengendalikan        pemulihan    berat.

     Selain itu, pada bulan November 1998, KPM memulakan usaha untuk menghasilkan buku panduan bagi melaksanakan program pemulihan khas. Buku itu terbit pada tahun 1999. Buku itu menjadi sumber penting  GPK dan guru Bahasa Melayu.







       Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ada mencatatkan bahawa pada tahun 2005 sebanyak 4.4 peratus murid sekolah rendah dan 0.8 peratus pelajar sekolah menengah masih belum menguasai 3M. Peratusan ini termasuk juga pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran. Jadi, mulai tahun 2006 KPM menambah baik program yang sedia ada dan melaksanakan program baharu bagi mengurangkan peratusan murid yang tidak           menguasai3M.



      Program terpenting ialah Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M). Program ini bertujuan untuk membantu murid tahun satu menguasai kemahiran membaca dan menulis. Program ini dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu.


       Usaha lain ialah menambah guru pemulihan khas melalui program Kursus Perguruan Lepas Ijazah, Kursus Dalam Perkhidmatan untuk guru sekolah kurang murid dan beberapa kursus jangka pendek yang lain.



       Pada 12 September 2009, akhbar Berita Harian Online menyiarkan berita bahawa 85,000 orang pelajar tahun satu di negara kita belum menguasai kemahiran membaca dan menulis (2M). Data yang di bawah pula menunjukkan pencapaian KIA2M tidaklah membanggakan.*

        Jadi, bermula pada tahun 2010 Program Literacy and Numeracy Screening (LINUS) menggantikan Program Kelas Intervensi Asas Membaca dan Menulis (KIA2M). LINUS berkaitan pula dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Minister Key Performance Indicators (MPKI) Kementerian Pelajaran Malaysia menyasarkan bahawa semua murid normal berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikANrendah      menjelang     2012.



            Program Pemulihan Khas ialah satu usaha mengatasi masalah murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.
Pendidikan pemulihan adalah sebagai satu cabang daripada sebahagian pendidikan imbuhan.Ianya juga disebut sebagai ‘Remedial education’ di dalam bahasa Inggeris iaitu suatu bentuk pendidikan khas kepada kanak-kanak atau pelajar yang menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran dalam mata-mata pelajaran tertentu sahaja.Pendidikan Pemulihan berbeza daripada pendidikan atau pengajaran biasa. dan
            Guru yang mengajar kelas pemulihan adalah guru yang terlatih khas untuk kelas pemulihan. Kelas pemulihan selalunya lebih kecil daripada kelas biasa. Aktiviti yang dijalankan juga khas iaitu menepati kehendak ‘ menjadikan pulih ‘.
            Pendidikan Pemulihan adalah satu bentuk pendidikan untuk membetulkan sesuatu yang kekurangan atau membetulkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang cacat.
Definisi Pendidikan Pemulihan
            Berbagai-bagai pendapat telah diberikan oleh ahli-ahli pendidik Barat dan tempatan mengenai takrifan pendidikan pemulihan.
           Secara lebih khusus, takrif pendidikan pemulihan itu telah diberi dengan pelbagai definisi, antaranya ialah :
i) Sharifah Alwiah Alsagoff, 1983 : 371
‘      satu tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran dalam darjah khas di sekolah biasa, di pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam kumpulan yang diasingkan daripada sekolah biasa, dan dalam darjah untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.’
ii) Ishak Harun & Koh Boh Boon, 1983 : 191
‘      Perkhidmatan khas untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang   menghadapi masalah-masalah pembelajaran di sekolah-sekolah biasa’ .

iii) Pringle (1966)
‘   pengajaran yang mempunyai pendekatan khas yang diperlukan oleh semua murid yang mundur dalam satu-satu mata pelajaran serta berkemahuan dan berkebolehan belajar,melalui latihan yang sistematik dan dapat memenuhi keperluan-keperluan mereka.

iv) Albertwhite (1977)
‘ pengajaran pemulihan ialah suatu bentuk pengajaran yang diperlukan oleh kanak-kanak yang bersifat ketidakupayaan yang disertai oleh gangguan-gangguan emosi ’.

v) Tansley (1967)
‘ pengajaran pemulihan ialah satu bentuk pengajaran yang mengutamakan langkah-langkah yang benar-benar teliti dan sistematis bagi membolehkan pengajaran pemulihan dijalankan secara tersusun.

vi) Collins (1961)
‘ pengajaran pemulihan ialah satu bentuk pengajaran yang mengutamakan mata pelajaran asas. Malah beliau menegaskan pengajaran ini ialah satu kaedah pengajaran yang istimewa bagi murid-murid yang gagal dalam mata pelajaran asas di sekolah seperti membaca,menulis dan mengira.
vii) Evans (1995)
‘ pengajaran pemulihan dianggap sebagai “ the ambulance of educational system “. Dengan sebab itu pengajaran pemulihan ini tidak boleh diambil kira sebagai satu pekerjaan atau pengajaran yang dilakukan secara mengejut, mendadak atau digunakan pada waktu kecemasan sahaja. Pengajarannya perlu dirancang dan disusun dengan rapi berdasarkan aspek –aspek kelemahan murid.
viii) Blair (1956)
‘ pengajaran pemulihan adalah satu bentuk pengajaran yang bertujuan untuk membaharui teknik pengajaran dan pembelajaran untuk mengikis segala kebiasaan-kebiasaan dan amalan-amalan yang tidak sesuai bagi murid-murid lambat’.
ix) Bahagian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan dalam pekeliling KP (BS) 8502/5/PK/Jld. V (26) bertarikh 8 Januari 1986.
‘ pengajaran pemulihan sebagai satu usaha dalam pendidikan untuk mengatasi masalah pembelajaran murid-murid lemah di sekolah-sekolah rendah, khususnya ditumpukan kepada kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, di bawah kelolaan guru-guru pemulihan yang telah menerima latihan khas dalam bidang ini’.
x) Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (1984)
‘ dalam konteks KBSR Program Pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Mereka ini hendaklah dipulihkan sebaik sahaja masalah tersebut dapat dikesan dan ditentukan’.
xi) Koh (1979)
‘ pengajaran pemulihan sebagai pengajaran yang bertujuan untuk memulihkan kelemahan-kelemahan yang dikesan pada murid lambat dengan tujuan untuk meningkatkan taraf pencapaian mereka agar setaraf dengan pencapaian murid-murid normal ‘.

xii) Chua (1977)
‘          pendidikan pemulihan sebagai satu pengajaran yang bertujuan untuk membantu murid yang lemah, melalui pendekatan perseorangan dalam kelas yang kecil bilangan muridnya. Pengajaran ini menggunakan kurikulum yang diubahsuaikan dengan menitikberatkan perkara yang praktis dan latih tubi, tunjuk cara yang melibatkan kegiatan dan gerak kerja yang dimudahkan serta disampaikan dengan teratur serta dikendalikan oleh kakitangan ikhtisas (profesional)yang terdiri daripada Guru Pemulihan dengan kerjasama doktor, pekerja sosial, pakar jiwa dan pihak-pihak lain yang berkaitan.
Kesimpulan Definisi
Secara kesimpulannya, pengajaran pemulihan adalah sejenis pengajaran yang dijalankan untuk membantu murid-murid lambat dalam pembelajaran di sekolah agar mereka tidak terus ketinggalan dalam proses pendidikan di sekolah dan dapat seiring dan setaraf dengan rakan mereka yang lain.
2.2       Tujuan Pengajaran Pemulihan
Berdasarkan Buku Panduan Program Pemulihan Kurikulum Baru Sekolah untuk Tahap Satu Kementerian Pendidikan Malaysia (1984), tujuan utama pengajaran pemulihan ialah untuk:
a) Membantu mengatasi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu.
b) Membantu murid mengubah sikap yang negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran.
c) Memupuk serta mengembangkan sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.


            Menurut Koh (1986), menegaskan pengajaran pemulihan diperlukan untuk mengatasi kesusahan pembelajaran bagi kanak-kanak yang mengalami kesusahan ini tanpa menghiraukan label-label ke atas murid tersebut seperti bodoh, lambat dan sebagainya.
Menurut Blair (1968), pengajaran pemulihan diperlukan untuk fungsi-fungsi berikut:
a) Untuk menyingkirkan tabiat dan sikap yang tidak selari dengan pembelajaran berkesan atau dengan kata lain memulihkan kesalahan atau kelemahan.
b) Untuk mengajar buat pertama kali tabiat, kemahiran dan sikap baik yang belum dipelajari, tetapi seharusnya sudah dipelajari.Tabiat, kemahiran dan sikap baik diperlukan oleh murid untuk meningkatkan kecekapan murid.
            Maka, pengajaran pemulihan diperlukan untuk mengatasi dua jenis kelemahan iaitu mengikis tabiat tidak baik yang sedia ada dan kedua ialah untuk membentuk tabiat baik yang belum ada pada murid itu.

            Dengan ini, pendidikan diperlukan untuk mengatasi dua jenis kelemahan ini.Bagi keperluan guru, untuk mengatasi kedua-dua jenis kelemahan ini, prinsip-prinsip pengajaran yang harus digunakan ialah yang berasaskan psikologi, di samping terdapatnya berbagai-bagai cara bekerja, teknik dan alat pelaksanaannya.
Tujuan-tujuan pendidikan pemulihan adalah:
a) Mengenal pasti pelajar yang memerlukan pemulihan.
b) Untuk mewujudkan alat-alat diagnostik supaya dapat mengesan kesulitan-kesulitan pembelajaran tertentu.
c) Mengeluarkan bahan-bahan kurikulum dan kaedah-kaedah pengajaran yang sesuai untuk memenuhi keperluan setiap kanak-kanak.
d) Mencegah sesuatu kurang upaya supaya tidak menjadi satu kecacatan.
e) Merapatkan hubungan antara guru biasa dan guru khas supaya layanan yang diberi oleh guru khas dapat diteguhkan oleh guru biasa.
f) Membentuk komunikasi yang berkesan dengan pakar-pakar dan agensi-agensi untuk perkembangan optimum setiap kanak-kanak.
      Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (1985) pengajaran pemulihan adalah khusus untuk membantu sebilangan pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran di sekolah rendah, terutamanya dalam masalah bahasa.

Definisi Pengayaan
       Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 693) mentakrifkan “pengayaan” sebagai “perihal (usaha, proses, dsb) mengayakan, misalnya mengayakan atau meluaskan kosa kata”. Pengayaan merupakan aktiviti tambahan kepada aktiviti asas pembelajaran yang dilakukan sama ada semasa sesi persekolahan atau di luar waktu persekolahan.

        Mok Soon Sang (1990: 55) pula menjelaskan bahawa aktiviti pengayaan disediakan untuk semua murid di dalam kelas, sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, sama ada dalam kumpulan cerdas, sederhana, atau lambat. Menurutnya lagi, melalui aktiviti pengayaan, murid-murid akan dapat memperluas pengalaman dan pengetahuan sejajar dengan kebolehan dan minat mereka dalam sesuatu bidang pelajaran tertentu.

       Justeru, tujuan program pengayaan adalah untuk memperluas pengetahuan dan pengalaman di samping memperkukuh kemahiran yang sedang dipelajari. Penglibatan murid-muird dalam aktiviti ini membolehkan mereka mengembangkan lagi sifat ingin tahu, minat, kreativiti, sikap berdikari dan bakat kepimpinan serta melibatkan diri dalam membuat sesuatu keputusan untuk diri sendiri, kumpulan, dan masyarakat.






No comments:

Post a Comment